
LAHAD DATU: Polis sedang giat memburu seorang lelaki dipercayai melarikan 22 karton (528 tin) minuman keras jenis ‘Tiger’ dari Pasaraya Wisma Ramai-Ramai I-Peak dekat sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata dalam kejadian jam7.30 malam itu, suspek yang memakai penutup mulut, bertopi hitam, berseluar panjang dan jaket biru dirakam masuk ke dalam pasaraya berkenaan.

Beliau berkata hasil daripada rakamen kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek berulang-alik keluar dari pasar raya itu dengan membawa minuman keras menggunakan troli tanpa membuat pembayaran di kaunter pasaraya terbabit.
“Rakaman CCTV mendapati suspek membawa 22 karton iaitu sebanyak 528 tin minuman keras jenis ‘Tiger’.

“Kita sedang mengesan lelaki berhubung kes curi itu dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Mohd Faezal Akmar di talian 089-881255untuk membantu siasatan. – SabahNewsToday