Mangsa Banjir Beaufort, Membakut Meningkat

Keadaan banjir di pekan Membakut – Foto Ihsan Pembaca

BEAUFORT: Mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Bencana Alam Selagon dari kawasan sekitar Beaufort dan Membakut meningkat kepada 268 orang daripada 97 keluarga sehingga 5 petang hari ini berbanding 70 orang pada tengah hari.

Daripada jumlah itu, seramai 249 orang adalah mangsa dari enam kampung di Membakut manakala 19 orang lagi dari Bakalau, Beaufort.

Foto Ihsan Pembaca

Mangsa paling ramai dipindahkan di Membakut adalah dari Kampung Baitam Baru iaitu membabitkan 137 orang diikuti Baitam (30), Kampung Jambatan Baru (25), Lumantak (23), Takapan (18) dan Baitam Laut (16).

Sejak awal pagi hari ini, sebanyak 19 kawasan di Membakut antaranya Kampung Lumantak, Baitam, Sinoko, Bambangan, Baitam Laut, Baitam Baru, Baitam Ulu, Jambatan Baru, Kampung Baru, Papas, Kayai, Poring dan Pusak dinaiki air.

Selain itu, kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Membakut, Klinik Kesihatan Kampung Sinoko, Kampung Takapan, Mendangin, pekan lama Membakut dan Lampijas turut dinaiki air.

Laluan yang terjejas dan tidak dapat dilalui kenderaan kekal satu di Beaufort iaitu Jalan Kampung Bakalau Simpang Empat manakala di Membakut bertambah kepada 13 laluan berbanding 11 laluan pada pagi.

Laluan dikenal pasti terjejas sejak pagi hari ini ialah Jalan Kampung Bambangan, Jalan Kampung Sinoko, Jalan Kampung Pusak, Jalan Kampung Poring, Jalan Kampung Baitam, Baitam Laut dan Baitam Ulu, Jalan Kampung Jambatan Baru, Jalan Kampung Kayai, Jalan Kampung Baru dan Jalan Kampung Papas.

Dua lagi laluan yang terjejas ialah Jalan Pekan Lama Membakut dan Jalan Kampung Mendangin.

Banjir di Beaufort dan Membakut turut menjejaskan perkhidmatan kereta api bagi laluan Kota Kinabalu-Membakut-Beaufort dan sebaliknya berikutan di beberapa lokasi landsan dinaiki air pagi hari ini.

Pegawai Daerah Beaufort yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Jupery Etok ketika dihubungi menjelaskan, paras Sungai Padas di Beaufort dan Sungai Membakut masih berada pada tahap bahaya.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan keadaan banjir mungkin bertambah buruk terutama jika hujan berterusan di kawasan hulu.

2504