Homoseksual Punca Utama HIV Di Sabah, Ke-5 Tertinggi Di Malaysia

Christina ketika pelancaran Hari AIDS Sedunia peringkat negeri Sabah di Lahad Datu.

LAHAD DATU: Sabah berada dalam senarai lima negeri tertinggi bilangan kes jangkitan HIV dan penyakit AIDS di Malaysia.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, satu dalam dua kes HIV yang berlaku di negeri ini terdiri daripada golongan homoseksual dan heteroseksual.

“Data juga menunjukkan lebih 90 peratus daripada mereka adalah lelaki yang mengamalkan hubungan seks sejenis.

“Lebih membimbangkan lagi, golongan muda yang berumur antara 20 hingga 29 tahun adalah golongan paling ramai dijangkiti virus berkenaan,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Perasmian Hari AIDS Sedunia Peringkat Negeri Sabah di Taman Bandar Lahad Datu, hari ini.

Tambah Christina, trend peningkatan kes jangkitan HIV juga amat membimbangkan kerana turut membabitkan remaja lelaki berumur 13 hingga 19 tahun.

“Justeru, saya melihat sokongan sosial daripada masyarakat khususnya keluarga sangat penting bagi mengurangkan tekanan terhadap pesakit.

“Ia bersesuaian dengan tema sambutan Hari AIDS Sedunia tahun ini iaitu ‘Community Makes The Difference’, yang mana menekankan konsep pencegahan penyakit HIV bermula dari rumah,” katanya.

Menurut beliau, masyarakat harus memainkan peranan dalam mencegah rebakan HIV.

“Walaupun, HIV tidak boleh sembuh, namun hasil kemajuan teknologi dan perubatan hari ini, virus itu mampu dikurangkan sehingga ke tahap tidak boleh disebarkan kepada orang lain.

“Apa yang penting, kesedaran orang ramai khususnya pesakit HIV mengenai rawatan dan kawalan penting dalam mengurangkan penyebaran virus berkaitan,” katanya.

BorneoToday

15595