Polis Tidak Periksa Telefon Bimbit Orang Awam Tanpa Sebab – Pesuruhjaya Polis Sabah

KENINGAU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah hari ini menjelaskan pihak polis tidak akan bertindak sewenang-wenangnya memeriksa kandungan telefon bimbit individu di negeri ini tanpa sebarang sebab, tetapi sebaliknya melakukannya atas laporan penglibatan dalam jenayah.

Beliau berkata, pemeriksaan telefon bimbit merupakan satu amalan biasa yang dilakukan berdasarkan peraturan siasatan, yang dilakukan polis ke atas individu yang terlibat dengan kes jenayah atau mereka yang kegiatannya mencurigakan.

“Tetapi kita (polis) tidak lakukan kepada mana-mana individu tanpa sebab,” katanya mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Aziz Jaman yang dipetik memberi hak kepada polis memeriksa telefon bimbit orang awam, memastikan tiada komunikasi yang mengancam keselamatan awam.

Omar berkata polis juga akan mengadakan pemeriksaan telefon bimbit dalam kes-kes penglibatan individu dalam perjudian dalam talian.

Sementara itu Omar ketika merasmikan Majlis Kempen Kesedaran Jenayah Seksual PDRM 2019 berkata adalah penting memberikan kesedaran dan pengetahuan asas kepada kanak-kanak-kanak dan masyarakat dari aspek ligitasi perundangan dan langkah-langkah pencegahan dalam menangani kes-kes jenayah seksual.

Katanya kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak khususnya di negeri Sabah semakin meningkat, yang bukan sahaja berlaku di kawasan bandar tetapi juga menular di kawasan luar bandar dengan statistik kes jenayah seksual Sabah Januari hingga Oktober lepas, naik ke 374 kes, berbanding 302 kes tahun lepas.

“Ini termasuk kes rogol, sumbang mahram, luar tabii, mengaibkan kehormatan dan kes cabul.

“Kempen yang polis adakan hari ini merupakan usaha murni pihak PDRM, dalam mengurangkan kadar jenayah melibatkan kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Program disertai 900 peserta yang terdiri daripada Ketua-Ketua Anak Negeri, Ketua-Ketua Masyarakat, Ketua-Ketua Kaum dan Ketua-Ketua Adat daripada daerah Keningau, Nabawan, Tambunan dan Tenom.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *