Cubaan Seludup Minuman Keras Bebas Cukai Dari Labuan Ke Sabah Tumpas

PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas minuman keras dalam Ops Landai Khas di Kampung Sikalong, Menumbok. – Foto ihsan PPM

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) membongkar kegiatan penyeludupan mimuman keras bebas cukai dari Labuan ke Sabah yang didalangi sindiket terancang.

Kegiatan itu terbongkar dalam Ops Landai Khas membabitkan serbuan di Kampung Sikalong, Menumbok, di sini kelmarin hasil maklumat risikan dan aduan awam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu, 45 karton minuman keras pelbagai jenama dirampas.

“Ketika intipan dilakukan, dua suspek dilihat sedang melakukan pemunggahan barangan dalam bungkusan plastik hitam ke dalam sebuah van jenis Perodua Rusa di lokasi serbuan.

“Bagaimaapun, kedua-dua suspek disyaki penyeludup itu berjaya meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan minuman keras berkenaan yang didapati tidak bercukai dan disyaki cuba diseludup ke Sabah melalui kawasan penempatan itu.

“Kesemua minuman keras bernilai RM15,400 itu dan van berkenaan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Pajeri berkata, pihaknya sentiasa menggerakkan aset bersama pegawai serta anggota untuk menjalankan rondaan atau operasi mencegah jenayah di kawasan perairan dan pesisir pantai.

“Kerjasama daripada komuniti setempat amat diperlukan dengan memberikan maklumat berkaitan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *