Lelaki Maut Motosikal Ditunggang Rempuh Proton Iswara

Kemalangan maut yang berlaku di KM 8, Jalan Persisiran Pantai, Semporna, petang semalam.

SEMPORNA: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan di Kilometer 8 Jalan Persisiran Pantai, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, mangsa Mohd Yaser Nor, 23, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Kemalangan maut yang berlaku di KM 8, Jalan Persisiran Pantai, Semporna, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supritendan Sabarudin Rahmat berkata, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Pokas menuju ke Kampung Seraya.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan cuba memintas kenderaan di hadapannya tanpa menyedari sebuah Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki, 30, berada di lorong bertentangan.

“Keadaan itu menyebabkan rempuhan berlaku dan mangsa serta motosikalnya tercampak ke tepi jalan,” katanya.

Tambahnya, pasukan perubatan tiba di lokasi dan mengesahkan mangsa maut sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Semporna untuk bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan pemandu motokar itu tidak memiliki sebarang lesen memandu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

BorneoToday

974