(VIDEO) Kematian 6 Sekeluarga Dipercayai Ditembak Di Selatan Filipina Diklasifikasikan SDR

KOTA KINABALU: Polis masih menyiasat kematian enam warga asing yang dipercayai ditembak mati dalam satu insiden tembakan yang berlaku di Selatan Filipina, pada Selasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, difahamkan keenam-enam mayat mangsa yang dipercayai penduduk kampung Pulau Denawan, Semporna itu telah dibawa balik untuk dikebumikan di pulau berkenaan.

Beliau berkata, difahamkan mangsa merupakan penduduk kampung di Pulau Denawan, Semporna dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Mangsa merupakan enam sekeluarga yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak.

“Aduan telah dibuat dan mayat mangsa dibawa (ke Pulau Denawan) kalau tidak silap pada 7 November dan dikebumikan pada 8 November.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan kita menjalankan siasatan kes ini sekarang.

“Kes ini disiasat sebagai kes SDR atau Laporan Mati Mengejut,” katanya ketika ditanya mengenai kes tembakan yang membabitkan penduduk Pulau Denawan, Semporna di perairan Filipina.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019, di Kompleks Kerajaan Persekutuan, di sini pada Ahad.

Omar berkata, difahamkan enam sekeluarga itu dalam perjalanan menuju ke Siasi, Filipina bagi menyambut Maulidur Rasul di sana.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *