Satu Maut, Waja Bertembung Hilux Di Jalan Keningau-Tenom

Pasukan perubatan dan anggota bomba bekerja keras memberikan bantuan kepada mangsa yang tersepit.

KENINGAU: Seorang warga emas maut selepas Proton Waja dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Kilometer 10 Jalan Keningau – Tenom petang tadi.

Dalam kejadian pada pukul 3.51 petang tadi, mangsa yang maut ialah Tinsim Petek, 69, yang juga merupakan pemandu Proton Waja berkenaan.

Salah seorang mangsa yang cedera ringan selepas Toyota Hilux dinaiki terbalik.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, tiga lagi mangsa yang menaiki pacuan empat roda tersebut hanya cedera ringan.

Katanya, mereka adalah Jasni Tette, 65; Yong Min Kiong, 64, dan Yong Min Mau, 74.

Pasukan perubatan dan anggota bomba bekerja keras memberikan bantuan kepada mangsa yang tersepit.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.51 petang lalu menggerakkan seorang pegawai dan lapan anggota ke lokasi kejadian.

“Bomba segera memberikan bantuan kepada mangsa terutama pemandu Proton Waja yang parah dan segera dihantar ke hospital menaiki ambulans.

Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan maut oleh pasukan perubatan sebelum tiba di hospital.

Tambahnya, operasi tamat pada pukul 4.17 petang selepas kawasan kemalangan disahkan selamat.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *