Simpang Mengayau Kembali Jadi Tumpuan Peminat Luncur Air

KOTA KINABALU: Sukan luncur air terkemuka, Borneo Surf Festival 2019 akan kembali memeriahkan sukan air di negeri ini dengan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.

Presiden Persatuan Luncur Ombak Negeri Sabah, Mohd. Zurqaany Zahari @ Chani berkata, acara itu diadakan bermula pada 20 Disember sehingga 22 Disember depan.

Muhammad Zurqaany Zahari (berdiri empat kanan) dan Pengurus Pemasaran Rip Curl Malaysia dan Singapura Mohamad Faisal Daud (berdiri tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan selepas memperkenalkan jersi serta poster Borneo Surf Festival.

“Acara ini akan diadakan di  Tanjung Simpang Mengayau, Kudat dengan penyertaan dari beberapa negeri Semenanjung, Labuan dan Sabah, serta dari negara Brunei dan Indonesia.

“Terima kasih kepada  Rip Curl yang setia bersama persatuan ini sebagai penaja utama pertandingan ini sejak 2015,” katanya dalam sidang akhbar di Suria Sabah, hari ini.

Katanya, terdapat tiga kategori yang akan dipertandingkan dalam kejohanan kali ini iaitu lelaki terbuka, master (25 tahun ke atas) dan grom (16 tahun ke bawah).

Beliau berkata, ramai dalam kalangan masyarakat Sabah masih belum mengenali sukan luncur ombak yang semakin popular dalam negara ini.

Menurutnya, acara itu turut diadakan sebagai satu usaha memperkenalkan sukan berkenaan kepada masyarakat negeri ini.

“Kami juga berharap agar kerajaan atau badan swasta dapat tampil untuk memberikan sokongan dalam bentuk tajaan.

“Sukan ini juga mampu mengembangkan industri pelancongan dalam negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mendedahkan bahawa anak muda di negeri ini mempunyai bakat dan potensi yang besar untuk mengharumkan nama Sabah sehingga ke peringkat antarabangsa.

BorneoToday

22