Polis Labuan Tumpaskan Sindiket Seludup Dadah Guna Khidmat Kurier

LABUAN: Polis Labuan menumpaskan sindiket penyeludupan dadah menggunakan perkhidmatan kurier selepas merampas 51.26 gram ketamin dan 100 pil Erimin 5 pada Jumaat.

Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan menahan seorang penganggur berusia 27 tahun selepas menemukan dadah yang disembunyikan di dalam paket biskut jenama popular di premis syarikat kurier di Lazenda Commercial Centre di Jalan OKK Abdullah dalam serbuan pada 3 petang itu.

Timbalan Ketua Polis Labuan DSP Ibrahim Ghani berkata sindiket itu mengimport dadah dari Miri, Sarawak dan menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengaburi aktiviti mereka.

“Pasukan kami memantau premis kurier itu selepas mendapat tip dan melihat suspek lelaki itu mengambil bungkusan berkenaan.

“Menyedari kehadiran pasukan kami, suspek mencampakkan bungkusan itu ke tanah di luar premis tersebut dan cuba melarikan diri tetapi dapat ditahan selepas berlaku pergelutan.

“Bungkusan tersebut dibawa ke balai polis. Kami mendapati terdapat serbuk putih dipercayai ketamin dan 10 bungkus Erimin 5 di dalam paket itu,” katanya pada sidang media di Balai Polis Labuan pada Sabtu.

Ibrahim juga tidak menolak kemungkinan dadah itu akan dibungkus semula untuk dijual bagi pasaran tempatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

20