Penduduk Temui Gading Gajah Dalam Semak – Polis

BELURAN, 24 Okt: Polis hari ini mengesahkan menerima maklumat mengenai penemuan gading gajah di kawasan semak di sebuah ladang kelapa sawit di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran, Supt Kasim Muda berkata gading itu ditemui penduduk kampung yang kemudiannya memaklumkan kepada Pengurus Ladang IOI Bimbingan 2 pada pukul 1.00 petang, sebelum ia dilaporkan kepada polis.

“Gading ini ditemukan berhampiran tempat bangkai gajah ditemui baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya sejurus selepas menerima maklumat berkenaan, pihaknya bersama pengurus ladang bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan, dan seterusnya mengambil gading itu untuk siasatan lanjut.

Katanya lagi, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan pihak berkuasa masih mencari maklumat berkaitan suspek terlibat.

Kasim turut memohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes gajah mati itu agar tampil membantu siasatan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran.

Sementara itu, Kasim berkata punca sebenar kematian gajah di ladang kelapa sawit di daerah ini masih belum dipastikan, selain menolak kemungkinan kematian akibat tembakan.

“Sekali lagi ditegaskan, tiada peluru ditemui dalam badan gajah itu semasa bedah siasat dijalankan,” katanya.

Pada Ahad lalu, media melaporkan seekor gajah pygmy dewasa ditemukan mati di sebuah ladang kelapa sawit.

Bangkai haiwan itu ditemui tanpa gading oleh pekerja Ladang Bimbingan 2, dan ia dipercayai telah mati sejak lima hari lepas.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *