BELURAN: Seekor lagi gajah Pygmy dewasa ditemui mati dengan kesan tembakan selain gadingnya hilang dalam kejadian di sebuah ladang di daerah ini, pagi semalam.
Gajah itu ditemui oleh pekerja di ladang berkenaan dengan beberapa kesan kecederaan disyaki akibat ditembak.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Augustine Tuuga berkata sepasukan veterinar dan renjer sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu.
“Setakat ini, kami belum mendapati butiran lengkap mengenai kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun jelas beliau siasatan awal gajah itu dipercayai ditembak dan dua gadingnya hilang.
“Penguasa kita bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan untuk mencari punca kejadian itu berlaku,” katanya.
Difahamkan gajah berkenaan dipercayai mati selama sekurang-kurangnya tiga hari.
Pada 25 September lalu, sekumpulan pemancing menemui bangkai gajah pygmy di Sungai Udin Dumpas di Kalabakan, Tawau dengan kesan lebih 70 tembakan diseluruh badan gajah berkenaan akibat tembakan oleh senjata api.
Susulan kejadian itu, polis menahan enam individu dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan gajah Pygmy berkenaan. – SabahNewsToday