Harap Petronas Tidak Lupa Sabah Bila Hasil Meningkat

KUDAT: Kerajaan Sabah akan terus memperkukuh hubungan kerjasama dengan Petronas dalam usaha membangunkan sektor pendidikan dan meningkatkan keupayaan hasil menerusi aktiviti hiliran dalam industri minyak dan gas di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan akan sentiasa menyokong usaha Petronas dalam membangunkan aktiviti hiliran kerana ia dapat membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat setempat.

“Ini antara usaha yang kita tengah bincangkan dengan sebaiknya bagaimana untuk membangunkan aktiviti hiliran dalam industri minyak dan gas.

“Pembuatan baja antara perkara yang boleh diberi perhatian kerana negara jiran, Indonesia banyak mengimport baja dari luar.

“Dengan jarak yang dekat dengan Indonesia dan sumber bahan mentah yang ada di Sabah, kita boleh mengeluarkan baja. Kita yakin ini akan memberi manfaat bukan hanya kepada Petronas tetapi juga kepada rakyat di Sabah,” katanya ketika ditanya mengenai rancangan kerjasama bersama Petronas pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Asrama Harian Luar Bandar (AHLB) Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan, Banggi, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga meminta Petronas agar tidak melupakan Sabah apabila hasil yang diperolehi syarikat itu meningkat.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, hubungan baik antara Petronas dan Kerajaan Sabah bermula sejak zaman awal penubuhan syarikat itu.

“Sejak itu urusniaga Petronas terus berkembang merangkumi operasi huluan dan petrokimia. Sehingga ke hari ini pertalian ini terus diperkukuhkan dengan pelbagai usaha dalam memajukan industri minyak dan gas di Sabah.

“Kini, Petronas secara aktif menjalankan pelbagai projek di Sabah termasuk Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT), Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP), Methanol Labuan dan Projek Sabah Amonia Urea (SAMUR).

“Perniagaan di Sabah berjaya membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Jika dilihat, 75 peratus kakitangan Petronas di Sabah juga terdiri daripada warga Sabah sendiri,” ujarnya.

BorneoToday

15