Belanjawan 2020: Sabah Terima RM5.2 Bilion Tertinggi Berbanding Negeri-Negeri Lain

KOTA KINABALU: Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Sabah menerima peruntukan pembangunan tertinggi berbanding negeri-negeri lain sebanyak RM5.2 bilion disusuli Sarawak sebanyak RM4.4 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 bertajuk Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama dan merangkumi 15 strategi berkata, peruntukan tersebut adalah untuk memacu pembangunan negeri terutama di luar bandar.

Katanya, peruntukan di bawah strategi pembangunan inklusif itu adalah untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar dengan memperluaskan liputan infrastruktur asas bagi kawasan luar bandar, terutamanya untuk Sabah dan Sarawak.

“Untuk 2020, kira-kira RM587 juta akan diperuntukkan untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar, di mana RM470 juta untuk Sabah dan Sarawak bagi memenuhi sasaran 99 peratus akses kepada air bersih.

“Kerajaan juga akan membelanjakan RM500 juta untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 isi rumah luar bandar di mana majoriti penerima faedah tinggal di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng berkata, satu lagi pembangunan yang menjadi keutamaan ialah pembangunan jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa dengan jumlah peruntukan keseluruhan seluruh negara sebanyak RM1 bilion dengan Sabah dan Sarawak merupakan penerima tertinggi.

“Projek-projek di Sabah sebanyak RM326 juta dan Sarawak sebanyak RM224 juta akan memberi faedah kepada 145,000 ribu penduduk,” jelas beliau.

Menurut beliau, Lebuh Raya pan Borneo akan diteruskan kerana menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi kedua-dua negeri dan hasil proses rasionalisasi yang dijalankan, penjimatan sebanyak RM1.2 bilion berjaya dilakukan apabila kos berkurang kepada RM29 bilion.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM600 juta untuk pembinaan Lebuh Raya Trans Borneo sepanjang RM165 kilometer yang akan menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan Timur.

“Antara komponen penting projek ini adalah pakej bernilai RM600 juta untuk 40 kilometer Jalan Kalabakan-Serudong dan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) serta kuarters perumahan kerajaan.

Kata Guan Eng, pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang merupakan geran Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak akan turut ditingkatkan bermula tahun 2020.

Jelas beliau, melalui tujuan itu, geran kepada Sabah meningkatkan kepada RM53.4 juta manakala RM32 untuk Sarawak berbanding hanya RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta kepada Sarawak sejak tahun 1969.

Selain itu katanya, melalui Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris), sebanyak RM4.85 bilion disediakan kepada semua kerajaan negeri termasuk Sabah dan Sarawak untuk penyelenggaraan jalan raya negeri.

Sementara itu, beberapa inisiatif lain turut disediakan kepada Sabah antaranya RM20 juta bagi pembangunan industri agro di Sabah melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) serta dana RM50 juta bagi menaik taraf landasan keretapi di kawasan Gorge Line antara Stesen Halogilat ke Stesen Tenom.