KOTA KINABALU: Sabah akan mengalami pembangunan seimbang di seluruh negeri secara komprehensif, tersusun dan teratur tanpa mengira bandar atau luar bandar.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata pembangunan itu mengutamakan kemajuan dari segi prasarana, pendidikan dan kesihatan masyarakat.
“Selain itu, kita juga melihat dari segi kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, dan tenaga elektrik.
“Kalau pelbagai kemudahan ini dapat dirasai oleh semua penduduk negeri ini, maka mereka mampu menjalani kehidupan harian yang baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang dan Pingat Negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi ke-66 Yang Dipertua Negeri, di sini pagi tadi.
Beliau berkata pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah satu usaha yang sangat baik untuk kerajaan Pusat ataupun negeri.
Katanya perkara penting adalah semua rancangan itu disusun atur baik setelah mengambil kira hasil dapatan kajian yang dilakukan terhadap komponen pembangunan fizikal, masalah serta kesihatan masyarakat.
“Penting kini rakyat akan melihat kepada perlaksanaannya, perlaksanaan perlu dilakukan seperti yang dirancangkan agar dapat memberikan manfaat sepenuhnya kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, acara kemuncak sambutan ulang tahun TYT dilaksanakan dengan baik tanpa wujud sebarang kelewatan.
“Saya berpuas hati, perbarisan dilakukan dengan baik, terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat bersama untuk menjayakan majlis ini.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat diantara semua pihak khususnya jawatankuasa induk penganjuran,” katanya.
Menurutnya, payung yang dihiasi warna-warna emas adalah satu lagi penambahan alat kegunaan di istana.
“Ini bukan payung emas…dia bukan emas tetapi dihiasi dengan warna-warna emas. Payung ini menjadi satu lagi alat kebesaran untuk kegunaan di istana,” katanya.-SabahNewsToday