Seramai 1,423 Terima Darjah Kebesaran Negeri Sempena Harijadi Rasmi TYT Ke-66

Penerima SPDK (atas dari kiri) Tan Sri Joseph Lo, Datuk K Y Mustafa dan Datuk Marcel Leiking. 
Antara penerima PGDK (bawah dari kiri) Shuryani, Abdul Rahman, Loretto, Mugunthan, Aminah, Fuad dan Jauteh. Gambar Komposit SNT

KOTA KINABALU: Seramai 1,423 menerima darjah kebesaran negeri dan sijil kehormat sempena Harijadi Rasmi ke-66 Tuan Yang di Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin esok.

Senarai penerima tahun ini didahului Pengarah Urusan Azam Jaya Sdn Bhd, Tan Sri Joseph Lo yang menerima pingat kebesaran tertinggi negeri iaitu Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri Panglima’.

Turut dikurniakan pingat SPDK ialah mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk K Y Mustafa dan Presiden Kadazan Society of Sabah (KSS) Datuk Marcel Leiking.

Manakala itu seramai 68 orang menerima pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran ‘Datuk’ pada tahun ini antaranya isteri kepada Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Haji Shuaib, pegawai tinggi kerajaan negeri dan pasukan keselamatan, pemimpin NGO, wartawan serta pemimpin politik.

Setiausaha agung Parti Warisan Sabah, Loretto S Padua yang juga adalah Adun dilantik bersama Ketua Wanita Warisan Aminah Jabarhan merupakan penerima PGDK tahun ini.

Turut menerima kurniaan PGDK ialah Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia, Briged Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob, Ketua Staf Operasi Darat ESSCOM Fuad Othman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Jauteh Dikun.

Sementara itu, antara pegawai kerajaan dan ketua jabatan yang menerima gelaran Datuk ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Patrick Tan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancungan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, William Baya, Pengarah JKR Sabah, Richard Jomiji, Pengarah Jabatan Air, Ir Amarjit Singh, Pengerusi KPD, Honorsius Bosuin dan Pengerusi Kebudayaan Sabah, Ismaily Bungsu serta Pengerusi Ko-Nelayan, Awang Ahmad Sah.

Beberapa personaliti NGO antaranya pengasas Rumah Kebajikan Bukit Harapan, Anne Keyworth atau lebih dikenali sebagai Mama Anne dan juga Pengerusi Orangutan Appeal UK, Susan Ann Sheward turut menerima anugerah PGDK.

Sumbangan pihak media Sabah turut mendapat penghargaan apabila Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Muguntan Vanar dianugerahkan PGDK.

Bagi anugerah Jaksa Pendamai (JP) seramai 16 orang menerimanya tahun ini termasuk Peguam Besar Negeri Datuk Zaleha Rose Pandin, ahli parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari dan ahli parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Turut menerima anugerah JP ialah Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Datuk Safar Untong, mantan presiden Sabah Law Society, Brenndon Soh dan Tan Sri Liew Yun Fah.

Untuk anugerah Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) seramai 75 penerima disenaraikan tahun ini antaranya, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Gan En Siong @ Fredian Gan, Pengarah Jabatan Hidupan Liar, Augustine Tuuga dan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor.

Bagi anugerah Ahli Darjah Kinabalu (ADK), terdapat 271 penerima, 456 penerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 324 penerima Bintang Kinabalu (BK) dan 210 penerima Sijil Kehormat (CH).

Upacara penyampaian darjah kebesaran negeri akan diadakan di Istana Negeri pada esok (5 Okt) selepas acara perbarisan di Padang Merdeka selesai.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *