Polis Sabah Rampas Ubat Herba Tradisional Dipercayai Diseludup Bernilai RM15.6 Juta

KOTA KINABALU, 3 Sept: Polis Sabah berjaya merampas pelbagai jenis ubat herba tradisional dianggarkan bernilai antara RM2.5 juta hingga RM15.6 juta dalam serbuan yang dijalankan disebuah premis di Jalan Tuaran pada 28 Sept lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata dalam serbuan yang dijalankan pada jam 11 pagi itu, polis merampas sebanyak 398 kotak yang mengandungi 240,000 botol pil herba untuk kesihatan yang dipercayai diseludup daripada negara luar.

“Daripada maklumat yang diterima, premis berkenaan digunakan untuk menyimpan dan menjual ubat-ubat seludup untuk diedarkan di daerah Kota Kinabalu dan kawasan sekitar,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menahan 12 individu warga tempatan termasuk seorang wanita dalam premis berkenaan yang berumur antara 21 hingga 65 tahun.

Katanya kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967 iaitu barang yang tidak mempunyai pengisytiharan sah pembayaran cukai daripada kastam.

Sementara itu mengulas mengenai perkembangan tiga warga Indonesia yang diculik dari perairan Geem Reef, Tambisan Lahad Datu pada 23 Sept lalu, Omar berkata penculik telah membuat panggilan telefon kepada ahli keluarga mangsa dan majikan untuk meminta wang tebusan.

Omar berkata panggilan itu dibuat dua hari selepas kejadian bagaimanapun jumlah wang yang diminta tidak dapat dipastikan.

“Difahamkan  suspek telah membuat panggilan kepada ahli keluarga salah seorang mangsa di Indonesia dan mengarahkan menguruskan pembayaran wang tebusan untuk ketiga-tiga mangsa tetapi suspek belum menyatakan jumlah yang perlu dibayar,” katanya.

BERNAMA