Operasi Bersepadu Terus Dilaksana

Antara rumah yang dirobohkan dalam operasi itu.

LAHAD DATU: Operasi Bersepadu yang dilaksanakan di daerah ini dijayakan dengan komited untuk mencapai matlamat penguatkuasaan.

Motifnya adalah untuk memerangi penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat dan menghapuskan sarang penagihan dadah.

Antara rumah yang dirobohkan dalam operasi itu.

Antara agensi yang terlibat menjayakan operasi ini ialah Polis Diraja Malaysia dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Majlis Daerah Lahad Datu, SESB, Jabatan Air dan Jabatan Perhutanan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata operasi yang diadakan di Kampung Puyut, di sini, berhasil mengesan empat buah rumah yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah dan dirobohkan Majlis Daerah Lahad Datu.

“Polis juga menahan dua lelaki yang dipercayai penagih dadah dan kemudian dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kejayaan operasi itu dilihat berkesan untuk terus dilaksanakan kerana penguatkuasaan dari pihak terlibat amat membantu kejayaan operasi ini.

“Seperti hari ini (semalam), kami menyaksikan perobohan rumah yang dibina di kawasan hutan simpan dan juga yang digunakan sebagai sarang penyalahgunaan dadah.

“Semasa operasi, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) juga berjaya merampas kira-kira 50 kilogram wayar yang digunakan untuk membuat sambungan elektrik haram di kawasan kampung,” katanya.

Jabatan Perhutanan juga dapat mengesan kawasan tanah yang dicerobohi dalam operasi ini.

UtusanBorneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *