Sungai Segaliud Sah Tercemar Dipercayai Akibat Sisa Buangan Kilang – JAS

JAS Sabah mengesahkan pencemaran Sungai Segaliud dipercayai berpunca daripada sisa buangan kilang di kawasan berhampiran.

SANDAKAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah mengesahkan pencemaran Sungai Segaliud di sini, minggu lalu, dipercayai berpunca daripada sisa buangan kilang di kawasan berhampiran.

Pengarahnya, Amirul Aripin, berkata sepasukan pegawai segera menjalankan pemeriksaan di sungai itu selepas menerima laporan berhubung pencemaran berkenaan pada 26 September lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada sisa buangan sebuah kilang yang sudah dikenal pasti.

“Dakwaan pencemaran berlaku di Sungai Segaliud didapati berasas berdasarkan siasatan pihak kami.

“Kami sedang giat menjalankan proses pengumpulan bukti di lapangan dan akan menyiapkan siasatan lengkap dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan penduduk mendapati air Sungai Segaliud bertukar kepada warna hitam, selain bangkai ikan dan udang mati timbul di permukaan sungai.

Sementara itu, nelayan, Mail Until, 44, berkata sumber pendapatan mereka terjejas sejak sungai berkenaan tercemar akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

“Tiada ikan dan udang boleh dipukat kerana boleh dikatakan semua sudah mati. Malah, benih ikan dan anak ikan pun mati.

“Biasanya selepas berlaku pencemaran sebegini, ia akan mengambil tempoh hingga enam bulan atau setahun, barulah ikan dan udang dapat dipukat semula,” katanya.

Justeru, beliau berharap masalah berkenaan diselesaikan segera dan pada masa sama, ada pihak dapat membantu mereka kerana rata-rata nelayan di kampung itu kini hilang sumber pendapatan.

Berita Harian