Tidak Diberikan Rokok, Lelaki Cedera Di Kepala & Mata Selepas Dipukul Rakan Guna Kayu

Gambar Hiasan

SANDAKAN: Gara-gara tidak diberi rokok, seorang lelaki sanggup memukul rakannya menggunakan kayu dalam kejadian di sebuah pondok di Kampung Sundang, Jalan Batu Sapi, dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi, mangsa warga emas berusia 61 tahun mengalami kecederaan luka di bahagian kepala dan mata kiri akibat terkena pukulan itu.

Susulan kejadian itu, mangsa kemudian membuat laporan polis dan suspek berjaya ditahan keesokan harinya, pukul 10.30 malam di Kampung Sundang Luat, Jalan Batu Sapi.

Menurut sumber mangsa yang bekerja sebagai buruh sedang bersembang dengan rakan-rakan lain di sebuah pondok apabila suspek menghampirinya dan meminta sebatang rokok.

Bagaimanapun mangsa tidak menghiraukan permintaan suspek menyebabkan suspek beredar dari tempat terbabit dalam keadaan marah.

Satu jam kemudian, suspek datang semula ke pondok terbabit dengan membawa kayu di tangannya dan bertindak memukul kepala mangsa.

Pergelutan kemudian berlaku dan mangsa turut memukul suspek di bahagian kaki dengan menggunakan kayu yang dirampas daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian.

“Suspek mengaku memukul mangsa dan kini suspek ditahan dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. – SabahNewsToday