Tiga Warga Indonesia Diculik di Tambisan

LAHAD DATU, 23 Sept: Tiga nelayan warga Indonesia dipercayai diculik di perairan Geem Reef, Tambisan, Tungku dekat sini, petang tadi.

Difahamkan kejadian itu dilakukan oleh tujuh lelaki bersenjata antara 2 hingga 3 petang tadi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi Bernama mengesahkan berlaku kejadian penculikan di Tambisan membabitkan warga Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, polis masih menunggu laporan lanjut.

“Setakat ini belum ada laporan polis dibuat,” katanya.

Sementara itu di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan tiga nelayan Indonesia diculik di Lahad Datu pada pukul 11.58 pagi tadi.

Beliau berkata nelayan dari suku kaum Buton itu dipercayai dibawa lari menuju ke Pulau Tawi-Tawi.

“Namun demikian kita akan melihat kedudukan sebenar. Saya akan mendapatkan maklumat terperinci tentang (kejadian) itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Resepsi Hari Ulangtahun Ke-74 Kemerdekaan Republik Indonesia di Kota Kinabalu, malam ini.

Mohd Shafie berkata tempat penculikan itu terletak di kawasan yang terpencil.

BERNAMA