Lelaki Parah Tertembak Diri Sendiri

Gambar Hiasan

BEAUFORT: Seorang pemotong kayu parah akibat tertembak diri sendiri dengan senapang jenis bakakuk ketika mencari kayu berhampiran rumahnya di kawasan hutan Kampung Batu 59, kelmarin.

Mangsa lelaki berusia 50 tahun yang parah di paha kanan kemudian dibawa ke Hospital Beaufort untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE 1), Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada Bahagian Kecemasan Hospital Beaufort, kira-kira jam 9 malam.

“Hasil siasatan mendapati mangsa bersama anak saudaranya berusia 24 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran masuk ke hutan berdekatan rumah mereka untuk mencari kayu, kira-kira jam 2 petang.

“Ketika berada di lokasi, senapang bakakuk yang dipegang mangsa dipercayai tergelincir dan jari mangsa pada picu senjata itu, menyebabkan tembakan dilepaskan dan terkena paha mangsa,” katanya di sini.

Azmir berkata, anak saudara lelakinya kemudian memaklumkan kepada isteri mangsa sebelum dibawa ke wad kecemasan Hospital Beaufort dengan bantuan ambulans.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat enam butir anak peluru jenis bore di bahagian paha kanan mangsa dan akan dihantar ke HQE I Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

“Polis tidak dapat mengambil keterangan kerana keadaan mangsa belum stabil sepenuhnya. Anak saudara mangsa ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya lagi, usaha untuk mengesan dan merampas senapang bakakuk yang digunakan mangsa ketika kejadian itu sedang dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *