PENAMPANG: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta ketika cuba memotong kenderaan lain di Jalan Sapulut Donggongon berhadapan kedai perobot, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 5.25 pagi itu Aibry Soimin, 25, beralamat Kampung Paus Ranau meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Tambunan ke Kota Kinabalu.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian penunggang motosikal cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan lalu masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Proton Iriz.
“Akibat kemalangan itu penunggang tercampak ke sebelah kiri jalan manakala motosikalnya terhumban ke dalam longkong.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Haris berkata, Proton Iriz dipandu seorang wanita berusia 29 tahun hanya cedera ringan pada lengan kanan.
“Mayat dihantar ke HQE I Kota Kinabalu dan polis sedang mengesan waris untuk proses bedah siasat,” katanya sambil menambah siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. SabahNewsToday