TAWAU: Segelintir pengusaha bot diakui masih tidak mempunyai tahap kesedaran tinggi terhadap aspek keselamatan para penumpang mereka.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata tindakan pengusaha bot yang kurang menitikberatkan pemakaian jaket keselamatan kepada penumpang amat dikesali.
Hasil tinjauan beliau bersama pihak media daerah ini mendapati beberapa penumpang tidak menggunakan jaket keselamatan berikutan jarak yang dituju adalah dekat.
Beliau berkata walaupun jarak antara tanah besar Tawau dengan Pulau Sebatik tidak terlalu jauh, namun ia bukan satu alasan untuk pengusaha bot mengambil langkah mudah untuk tidak memastikan penumpang memakai jaket keselamatan.
“Tdak sayang nyawa… ini kesimpulan yang saya boleh katakan. Menerusi tinjauan yang kita jalankan, rata-rata penumpang bot yang ulang alik ke Pulau Sebatik tidak memakai jaket keselamatan sedangkan mereka sepatutnya mengutamakan nyawa kerana khuatir berlaku kemalangan di laut.
“Dalam keadaan cuaca buruk pada masa ini, masih ada juga individu yang tidak sayang kepada nyawa mereka. Kita tidak pernah menjangkakan kemalangan berlaku tapi sekurang-kurangnya kita mengambil pencegahan dan berjaga-jaga,” katanya selepas menjalankan tinjauan bot penumpang ke Pulau Sebatik di CIQ Lama dekat sini, hari ini.
Katanya pengusaha bot juga dinasihatkan untuk menyediakan jaket keselamatan yang sesuai di peringkat dewasa dan kanak-kanak bagi keselamatan mereka.
“Tidak kira jarak dekat atau jauh nyawa penumpang tetap menjadi taruhan dan pengusaha bot juga perlu menyediakan jaket keselamatan yang bersesuaian termasuk untuk kanak-kanak,” jelasnya.
Mohd Pajeri berkata ketidakpatuhan aspek keselamatan boleh mengakibatkan pengusaha dan bot dikenakan tindakan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1960.
“Undang-undang di bawah akta ini mewajibkan semua penumpang dan semua bot tidak kira saiz perlu mempunyai jaket keselamatan.
“Jika ada pengendali bot yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan akan dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dikompaun serta tindakan mahkamah akan diambil,” tambahnya.
Terdahulu beliau meminta agar pengusaha bot penambang mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak mengemudi bot dengan laju ketika musim jerebu ekoran jarak penglihatan terhad di laut.
“Sekarang ini musim jerebu, jangan hanya fikir mahu cepat sampai, kena berhati-hati bawa bot kekalkan kelajuan yang selamat nyawa sangat penting elakkan kejadian yang tidak sepatutnya,” katanya. SabahNewsToday