15 Individu Positif Dadah Ditahan Dalam Parti Liar Di Sembulan

Foto Ihsan PDRM

KOTA KINABALU: Seramai 15 orang lelaki dan wanita didapati positif dadah ketika ditahan dalam sebuah parti liar di sebuah hotel di Sembulan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superitendan George Abd Rakman berkata, 15 individu itu antara 65 orang yang ditangkap melalui 19 serbuan melibatkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi tempoh 7 hingga 13 September di sekitar pusat bandaraya ini.

Foto Ihsan PDRM

Beliau berkata, 65 yang ditahan itu membabitkan seorang individu terlibat dalam pengedaran dadah, 16 individu memiliki dadah dan 48 individu lain didapati positif ujian urin.

Daripada jumlah itu, 49 orang adalah warga tempatan sementara 16 lagi warga asing yang berusia antara 15 hingga 56 tahun.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Malaysia, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu meneruskan usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar bandaraya ini.

George berkata, dalam tempoh tiga hari 11 hingga 13 September ini, 34 individu diperiksa atas kesalahan penyalahgunaan dadah di sekitar perkampungan atas air di Kampung Sembulan dan Kg Labou.

Daripada 34 yang ditahan, enam diperiksa mengikut Seksyen 12(2) manakala 22 lagi diperiksa dibawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah bagi tempoh seminggu (7-13 September) adalah sebanyak 30.16 gram yang bernilai RM1,508.

George berkata, usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah sekitar pusat bandaraya ini akan terus diperhebat dari masa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

Namun, bagi mempertingkat lagi pembanterasan jenayah dadah ini, kerjasama orang awam amat diperlukan dalam menyalurkan maklumat ke talian hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088 529 220 atau ke akaun Facebook Page ‘Polis Daerah Kota Kinabalu’.

BorneoToday