Kereta Nyaris Musnah, Pemilik Cas Telefon Bimbit Dalam Kenderaan

Dashboard kereta pacuan empat roda yang terbakar.

SANDAKAN: Sebuah kereta pacuan empat roda nyaris musnah terbakar apabila mengeluarkan asap di bahagian ‘dashboard’ ketika pemiliknya mengecas telefon bimbit di tapak letak kereta di hadapan sebuah pasaraya di Batu 6, di sini petang semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan, Penguasa Bomba Anddre Andrew berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Sabah telah menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.20 petang melalui talian MERS 999.

“Panggilan itu memaklumkan sebuah kenderaan dilaporkan mengeluarkan asap di bahagian dashboard,” katanya.

Beliau berkata, sebuah jentera bomba dan sebuah jentera EMRS bersama lima anggota yang diketuai oleh PBK II Hazmizan Maksit bergegas ke lokasi kejadian.

“Menurut komander operasi, kejadian melibatkan sebuah sebuah kereta Toyota Hilux yang sedang berasap di bahagian enjin.

“Pasukan bomba bertindak membuat pemadaman dengan membuka pintu bahagian pemandu untuk ventilasi.

“Kejadian dapat dikawal pada jam 2.36 petang dan operasi tamat sepenuhnya jam 3.15 petang,” katanya.

Tambahnya, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Utusan Borneo