TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 di sini, menahan lima lelaki termasuk empat pendatang asing dan merampas satu paket dadah dipercayai syabu serta sepucuk senapang dan tiga peluru hidup, selepas memeriksa tiga motosikal di kawasan Simpang 4, Batu 10, Kalabakan dekat sini semalam .
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Hazani Ghazali berkata kesemua suspek berumur antara 22 dan 41 tahun itu ditahan anggota tindakan pantas yang melakukan tugas risik serta rondaan di kawasan berkenaan pada 8.30 malam.
Beliau berkata hasil pemeriksaan oleh anggota yang membuat tugas risikan keatas tiga motosikal yang dinaiki lima lelaki itu, empat daripada mereka didapati warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, dan pemeriksaan keatas seorang suspek warga tempatan pula membawa kepada penemuan satu paket dadah jenis Syabu serta sebutir peluru hidup di dalam beg sandangnya.
Menurutnya penemuan peluru hidup itu seterusnya membawa kepada penemuan selaras senapang bakakuk serta dua butir lagi peluru hidup yang disembunyikan di dalam ladang kelapa sawit, tidak jauh dari kawasan suspek diperiksa.
“Hasil ujian air kencing turut mendapati kelima-lima suspek adalah positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya semua suspek dan barang rampasan termasuk tiga motosikal di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.
BERNAMA