Malaysia Tolak Kenyataan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Berhubung Sabah

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr. – Foto AFP

PUTRAJAYA: Malaysia menolak sepenuhnya kenyataan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr, pada Taklimat Bajet Jawatankuasa Peruntukan negara itu, 4 September lalu, berhubung Sabah.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan, hari ini, menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak terhadap negeri itu.

“Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia. Fakta ini sudah diiktiraf dan diterima oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta komuniti antarabangsa sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

“Oleh itu, sebarang kenyataan yang merujuk atau mengaitkan tuntutan tidak wajar akan ditolak, (dianggap) sebagai tidak mesra dengan Malaysia,” menurut kenyataan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina mengesahkan semula tuntutan Filipina terhadap Sabah selepas wakil rakyat Lanao del Norte, Khalid Dimaporo, bertanya sekiranya Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) ada memperuntukkan dana untuk Sabah.

Mengulas lanjut, Kementerian Luar berkata, Malaysia meletakkan kepentingan tinggi dan amat menghargai hubungan dengan Filipina secara dua hala serta sebagai rakan kongsi dalam ASEAN, di samping sebagai rakan anggota lain-lain organisasi serantau dan antarabangsa.

“Hubungan Malaysia-Filipina yang terus berkembang dan membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara dan rakyat, semestinya tidak memerlukan komen yang tidak mesra serta memudaratkan sebegitu,” menurut kenyataan itu lagi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *