Empat Ditahan Terlibat Kes Rompak Di UUC Telipok

Empat lelaki yang melakukan rompakan berjaya diberkas polis. Gambar SNT/Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Ditangkap dan diseret masuk ke dalam kereta sebelum disamun. Itu kejadian cemas dihadapi seorang lelaki berusia 35 tahun dalam kejadian rompak di kawasan kedai di UUC, pekan Telipok, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang didatangi tiga lelaki tidak dapat melepaskan diri dan hanya menuruti arahan suspek untuk masuk ke dalam sebuah kereta.

Sebaik masuk ke dalam kereta, mangsa melihat dua lagi lelaki yang tidak dikenali turut berada didalam kereta berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Ab Rakman berkata, mangsa mendakwa di bawa ke Bandar Sierra sebelum ditinggalkan di kawasan berkenaan.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun wang tunai dan dokumen penting miliknya dilarikan kelima-lima suspek terbabit.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan empat suspek berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun di beberapa lokasi berasingan sekitar pekan Manggatal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak berkumpulan tanpa senjata.

“Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat,” katanya. -SabahNewsToday