Suami Isteri Hisap Syabu Untuk Fokus Kerja Dan Seronok

Pasangan suami isteri yang ditahan kerana terbabit penyalahgunaan dadah dalam Ops Cegah di Tuaran. Gambar SNT/Ihsan AADK Tuaran

TUARAN: Fokus kerja dan untuk keseronokan. Itulah alasan suami isteri yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tuaran dalam Ops Cegah di daerah ini, semalam.

Pasangan berusia 45 dan 33 tahun ditahan di kediaman keluarga mereka di Kampung Tambalang, di sini, dalam serbuan bermula jam 9 malam dan berakhir enam jam kemudian.

Anggota AADK menahan lelaki yang terbabit penyalahgunaan dadah dalam Ops Cegah di Tuaran. Gambar SNT/Ihsan AADK Tuaran

Ketua Pegawai AADK Tuaran, Asraf Hafiz Ruslan berkata pasangan suami isteri itu antara sembilan individu yang ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah di enam lokasi di daerah ini.

“Soal siasat mendapati pasangan itu baru sahaja ambil syabu jam 11 malam di dalam bilik tidur mereka. Wanita itu juga pernah ditahan kerana terbabit dadah dan diberi pengawasan dua tahun pada 2016 lalu.

“Pasangan terbabit bersama tujuh individu yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Asraf berkata, semua yang ditahan berusia 19 hingga 50 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan 1983.

“AADK Tuaran akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membenteras kegiatan penagihan dadah khususnya di daerah ini.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Tuaran ditalian 088-788336 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Operasi itu dijalankan enam anggota termasuk pegawai daripada AADK Tuaran, AADK Negeri dan AADK Ranau.

SabahNewsToday