Maut Dibaham Buaya Ketika Basuh Kain Tepi Sungai

TAWAU: Seorang wanita meninggal dunia dipercayai dibaham buaya ketika membasuh kain di tepi sungai, Kampung Tuda Lama, Kalabakan, di sini, hari ini.

Difahamkan mangsa Nur Fatimah Saleh, 33, bersama rakannya yang juga saksi kejadian ke tepi sungai berkenaan pukul 11.10 pagi sebelum dikejutkan dengan kehadiran buaya.

Rakan mangsa menunjukkan lokasi tempat kejadian berlaku. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Mangsa kemudian digigit dan mengakibatkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata, empat anggota dan seorang pegawai kemudian bertindak ke lokasi kejadian sejauh 90 kilometer.

Operasi mencari dan menyelamat kemudian dijalankan pihak bomba menggunakan bot penyelamat di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Mayat mangsa bagaimanapun ditemui orang awam pukul 3.25 petang seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas turut mengesahkan kejadian itu.

“Terdapat kesan gigitan buaya ditemui pada mayat mangsa dan sudah dihantar ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut,” jelasnya. –SabahNewsToday