Tikam Rakan Hingga Mati Disyaki Angkara Mabuk

Gambar Hiasan

KINABATANGAN: Seorang buruh ladang yang dipercayai mabuk bertindak menikam rakan sekerjanya hingga mati dalam kejadian di rumah pekerja, Ladang Menanggol Global, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa lelaki berusia 30-an bersama rakannya meminum minuman keras sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

Suspek kemudian menikam mangsa beberapa kali dibahagian dada dengan menggunakan sebilah pisau. Mangsa parah kemudian melarikan diri dan menjerit meminta tolong sambil dikejar oleh suspek.

Beberapa pekerja ladang yang mendengar jeritan itu kemudian membantu mangsa manakala suspek berjaya ditangkap.

Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia. Susulan itu, pengurusan ladang kemudian menghubungi polis sebelum suspek ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu dan suspek lelaki berusia 31 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *