Penjalan Kaki Maut Dipercayai Dilanggar Lari

Mangsa terlentang atas jalanraya di Kilometer 8, Jalan Beaufort – Papar selepas dilanggar.

BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam satu kejadian dipercayai langgar lari di Kilometer 8, Jalan Beaufort – Papar, di sini, semalam.

Kejadian 6.30 petang, mangsa Sukarno Pulalon, 35, dikatakan melintas jalan dari arah kanan ke kiri jalan sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Papar ke Beaufort.

Mangsa terlentang atas jalanraya di Kilometer 8, Jalan Beaufort – Papar selepas dilanggar. Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata selepas kejadian itu pemandu kenderaan Toyota Hilux dipercayai terus melarikan diri manakala mangsa terlentang di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah.

Mangsa bekerja sebagai buruh binaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah dibahagian kepala.

Mangsa terlentang atas jalanraya di Kilometer 8, Jalan Beaufort – Papar selepas dilanggar.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pejalan kaki (mangsa) yang melintas jalan secara berbahaya.

“Namun siasatan lanjut masih diteruskan dan usaha mengesan kenderaan dan pemandu yang melarikan diri giat dijalankan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Azmir berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Beaufort dan bedah siasat akan dilakukan pagi hari ini.

“Orang ramai yang mengetahui atau menyaksikan kejadian itu diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan di balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

SabahNewsToday