Remaja Lelaki Lemas Ketika Mandi Bersama Rakan

Pasukan penyelamat mengangkat mayat remaja yang ditemui lemas ketika mandi di sungai Water Work Simpangan, Kota Marudu. Gambar SNT/Ihsan Bomba

KOTA MARUDU: Remaja lelaki ditemui lemas ketika mandi bersama empat rakannya di sungai Water Work Simpangan, di sini, petang tadi.

Mangsa Izzat Sufi Sahrul, 16, ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang mandi di tepi sungai sebelum tergelincir ke tempat yang dalam dan lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian jam 2.41 petang sebelum sebuah jentera bersama enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, bomba dimaklumkan seorang remaja lelaki dipercayai lemas ketika mandi bersama empat rakannya.

“Pasukan melakukan pencarian dengan teknik pencarian (surface searching) di sepanjang laluan sungai berkenaan,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Katanya, mangsa berjaya ditemui oleh PPDA tidak jauh dari lokasi terakhir mangsa dilihat di dasar pada kedalaman lima meter, jam 3.10 petang.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan. Operasi tamat jam 3.15 petang,” katanya.

SabahNewsToday