Sarawak Tuan Rumah Sambutan Hari Malaysia 2019

KUCHING, 27 Ogos: Sarawak dipilih menjadi tuan rumah untuk sambutan Hari Malaysia 2019 yang akan diadakan pada 16 Sept depan.

Bertempat di Padang Merdeka,Kuching, sambutan Hari Malaysia ini adalah kesinambungan kepada Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang telah diadakan pada 2 hingga 4 Ogos yang lalu.

Menurut kenyataan Jawatankuasa  Induk Sambutan Hari Malaysia, tema sambutan tahun ini adalah “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”.

Tema itu dipilih kerana ia melambangkan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama, selain dapat memupuk dan menyalakan nilai integriti, jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.

Antara acara menarik yang bakal dipersembahkan pada hari itu adalah persembahan wayang kulit, perarakan kereta berhias dan persembahan artis-artis terkemuka.

Orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama memeriahkan sambutan.

BERNAMA