Indeks Jenayah Di Kota Kinabalu Menurun

Habibi memeriksa barisan ketika majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Pahlawan IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Kadar indeks jenayah di daerah ini bagi tempoh Januari hingga 25 Ogos tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 17.65 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, daripada semua kes itu, polis berjaya menyelesaikan 98.59 peratus kes jenayah sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

Habibi menyampaikan sijil kepada pegawai dan anggota polis sempena majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Jumlah itu bersamaan 768 kes daripada 779 kes jenayah membabitkan kes samun, sindiket curi, rogol dan curi kenderaan yang dicatatkan di daerah ini.

“Trend penurunan jenayah ini susulan kejayaan polis melumpuhkan beberapa kumpulan atau sindiket jenayah sepanjang lapan bulan pertama tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.

Habibi bergambar bersama dengan pegawai dan penerima sijil sempena majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Menurutnya, antara kes yang berjaya dikurangkan adalah membabitkan kes samun tanpa senjata api yang menunjukkan penurunan sebanyak 11 kes dan sindiket curi yang menurun sebanyak 162 kes bersamaan dengan 32 peratus.

“Bagi kes rogol pula, turut menunjukkan penurunan iaitu sebanyak tiga kes bersamaan 18 peratus.

“Sementara itu, bagi kes membabitkan curi kenderaan turun sebanyak lima kes bersamaan menurun 18 peratus,” katanya.

Habibi berkata, begitu juga dengan kes membabitkan penyalahgunaan dadah yang menunjukkan peningkatan jumlah tangkapan daripada 1,310 orang tahun lalu kepada 1,432 individu bagi tempoh sama tahun ini.

“Hasil daripada tangkapan operasi bersepadu dadah ini banyak membantu kepada penyelesaian kes jenayah kerana majoritinya terbabit secara langsung dalam kegiatan jenayah.

“91 penjenayah daripada 282 individu yang ditahan kerana positif dadah dan memberi petunjuk kepada penyelesaian kes jenayah lain sekali gus membantu dalam penurunan jenayah indeks,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *