Pacuan 4 Roda Terbakar Ketika Membeli Makanan Segera Di Donggongon

Kenderaan musnah di bahagian enjin dan papan pemuka dalam kebakaran di kawasan letak kereta di tamu Donggongon, Penampang. – Gambar Ihsan bomba

PENAMPANG: Sebuah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser musnah di bahagian enjin dan papan pemuka apabila terbakar ketika pemandu parkir di tempat letak kereta untuk membeli makanan segera di tamu Donggongon, di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.33 petang sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Anggota bomba memadam api dalam kebakaran kenderaan di tempat letak kereta di tamu Donggongon, Penampang. – Gambar Ihsan bomba

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kebakaran membabitkan kenderaan jenis Toyota Land Cruiser terbakar sepenuhnya di bahagian enjin dan papan pemuka.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan air daripada tangki jentera,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, operasi terkawal kira-kira 3.50 dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4 petang.

Ujarnya tiada kecederaan dilaporkan dan ketika kejadian pemilik kenderaan tiada di dalam kenderaan berkenaan.

SabahNewsToday