Pensyarah Wanita UMS Botakkan Kepala Sokong Pelajar Hidap Kanser

Bamini (kanan) bergambar bersama pelajarnya yang menghidap Kanser Tulang Tahap Tiga, Richelle (kiri). Gambar SNT/Ihsan UMS

PENSYARAH WANITA UMS BOTAKKAN KEPALA SOKONG PELAJAR HIDAP KANSER TULANG

KOTA KINABALU: Seorang pensyarah wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) sanggup mencukur rambut bagi memberi sokongan kepada seorang pelajarnya yang menghidap penyakit kanser tulang tahap tiga.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Dr Bamini KPD Balakrishnan, 39, mengambil keputusan untuk membotakkan kepala bagi melahirkan rasa empati kepada pelajarnya, Richelle Hii Hua Yin, 20, yang dikesan menghidap kanser itu pada hujung Februari lalu.

Bamini (kanan) bergambar bersama pelajarnya yang menghidap Kanser Tulang Tahap Tiga, Richelle (kiri). Gambar SNT/Ihsan UMS

“Pada awalnya pelajar ini dikesan menghidap kanser tulang di bahagian lutut, namun sebelum menjalani rawatan kemoterapi yang pertama pada awal Mac, pemeriksaan yang dilakukan mendapati sel kanser telah merebak ke paru-paru.

“Semalam (16 Julai) dia telah menjalani rawatan kemoterapi kali ke-8, sebelum dua lagi rawatan susulan dan kita harapkan dia beransur sembuh dan pulih seperti sediakala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media, di sini, hari ini.

Menurut Dr Bamini, sebenarnya ada pelbagai cara untuk menunjukkan kebaikan dan sokongan kepada Richelle, tetapi Ketua Program Pemasaran itu lebih memilih untuk mencukur rambut bagi menunjukkan rasa kebersamaannya terhadap pelajar yang berasal dari Beluran Sabah itu.

“Saya mahu pelajar ini tahu bahawa kita semua ada untuknya dan dia tidak bersendirian melalui saat-saat sukar terutama dalam menanggung kesakitan yang dialami.

“Tiada niat untuk mencari populariti, saya cuma mahu memberikan dia galakkan dan keberanian untuk terus kekal positif.

“Saya juga ingin mengajak rakan-rakan dan orang ramai untuk mendoakan kesembuhan bagi pelajar ini,” ujarnya.

Dr Bamini berkata, Richelle merupakan pelajar yang aktif dalam kokurikulum dan baik dalam kurikulum.

“Beliau berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang pada peperiksaan Semester 1 dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.6, dan merupakan anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS).

“Pada kesempatan ini, saya sebagai pensyarah juga ingin merakamkan penghargaan kepada Dekan FPEP Prof. Madya Dr. Raman Noordin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Arif Kamisan Pusiran dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS yang sentiasa menjaga kebajikan pelajar,” tambahnya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *