Lelaki yang dihanyutkan bersama kenderaannya di Sungai Muaya, di sini, Sabtu lalu, ditemui mati, pagi tadi
Mayat Marthtn Padan, 64, ditemui terapung dan tersangkut pada ranting kayu oleh penduduk kampung dan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada kira-kira jam 9.30 pagi, kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa jatuh.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh, berkata sebelum itu, pihaknya menerima laporan mangsa bersama kenderaannya dihanyutkan arus pada malam Sabtu lalu.
“Mangsa dikatakan mahu menyeberang jambatan Sungai Muaya Mendalung dengan menaiki pacuan empat roda. Bagaimanapun, air sungai ketika itu melimpah ke jambatan konkrit dan menyebabkan kenderaannya dibawa arus.
“Kenderaan mangsa kemudian ditemui kira-kira 200 meter dari jambatan namun tiada mangsa di dalamnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, hasil operasi hari ini membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan cetek sungai berkenaan.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan tersangkut pada ranting kayu di kawasan air yang cetek,” katanya.
Terdahulu, SAR dilaksanakan oleh pelbagai pihak terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.