Sabah & Sarawak Terima Peruntukan Tertinggi Bagi Projek Pembangunan Taman Negara

TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memperuntukkan RM51 juta untuk melaksanakan projek pembangunan di taman negara dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dengan sebahagian besarnya di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata ia mencakupi projek peningkatan kemudahan pelancongan kawasan Layang-Layang, Gunung Kinabalu di Taman Negara Kinabalu, Kundasang, Ranau di Sabah membabitkan peruntukan RM13.8 juta.

Katanya, kemudahan pelancongan di Burlington Taman Kinabalu, Ranau pula membabitkan peruntukan RM12 juta, manakala RM5.4 juta untuk pembinaan sistem saliran air dan pembinaan loji kumbahan najis di kawasan Gunung Kinabalu, Taman Negara Kinabalu.

Beliau berkata, projek peningkatan pembangunan kemudahan pelancongan di Taman Negara Niah, Miri, Sarawak pula membabitkan peruntukan RM3.4 juta.

“Projek pembangunan kemudahan eko-pelancongan di Taman Negara Santubong, Kuching di Sarawak pula adalah RM2.9 juta.

“Bagi projek pembangunan eko-pelancongan di Taman Negara Kuching Wetland di Kuching pula sebanyak RM1.1 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong) yang ingin tahu peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan pelancongan taman negara di seluruh negara.

Muhammad Bakhtiar berkata, projek pembangunan eko-pelancongan Taman Negara Pulau Pinang menerima peruntukan RM5.1 juta, manakala sebanyak RM4.2 juta untuk projek pembangunan eko-pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut, Pahang.

Katanya, satu lagi projek adalah membaiki kemudahan pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan membabitkan peruntukan RM500,000.

“Kementerian sentiasa bekerjasama erat dengan semua kerajaan negeri untuk memajukan produk pelancongan berpotensi dibangunkan dan dinaiktaraf,” katanya.

Berita Harian