Simpan Bakakuk Dan Senapang Angin, Seorang Lelaki Ditahan

Dua senjata api ditemui dalam serbuan Ops Sarang di Kampung Amboi, Tenom. FOTO/ Ihsan PolisNorasikin Daineh

TENOM: Tidakan seorang lelaki menyimpan bakakuk dan senapang angin membawa padah apabila ditahan dalam Ops Sarang di rumah Kampung Amboi, Tenom semalam.

Dalam serbuan jam 7.15 malam, lelaki berusia 29 tahun itu turut didapati memiliki dadah syabu sebanyak 0.1 gram selain positif dadah.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, operasi itu dilaksanakan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom.

“Hasil serbuan berjaya merampas syabu dan pemeriksaan lanjut menemui senapang buatan sendiri jenis bakakuk dan senapang angin.

“Lelaki itu kemudian ditahan dan hasil ujian air kencing didapati positif dadah syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

“Suspek akan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Ops Sarang yang dilaksanakan IPD Tenom bertujuan mencegah jenayah termasuk membabitkan penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini.

Harian Metro