TM Labur RM50 Juta Naik Taraf Perkhidmatan Streamyx Ke Unifi Di Sabah

KOTA KINABALU: Telekom Malaysia Berhad (TM) membuat pelaburan sebanyak RM50 juta untuk menaik taraf kawasan perkhidmatan Streamyx ke Unifi di Sabah tahun ini, dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengurus Besar TM Sabah Dato Haji Mohd Sainal Haji Mohd Amin berkata, syarikat itu kini mempunyai 70,000 pengguna Unifi, iaitu kediaman dan perniagaan di negeri ini.

“Tumpuan kami tahun ini adalah untuk menambah baik kawasan Streamyx bagi memastikan semua pelanggan boleh menikmati Unifi,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri Kaamatan yang dihoskan oleh TM Sabah, bertempat di Hotel Ming Garden & Residence, di sini pada Rabu.

Majlis itu dirasmikan oleh Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor.

Beliau berkata sambutan itu bertujuan memupuk perpaduan dan hubungan yang lebih erat antara kakitangan TM dan pelanggan.

Sementara itu, Samsuni menekankan pentingnya mewujudkan perkongsian bijak antara agensi persekutuan dan negeri dengan TM.

Beliau juga berkata sambutan perayaan di Malaysia adalah unik dan perlu dipelihara.

Samsuni, yang sebelum ini ketua pegawai komunikasi dan setiausaha kanan jabatan (pentadbiran) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, berkata pelantikannya untuk bertugas di Sabah buat kali pertama bukan sahaja satu penghormatan tetapi juga peluang untuk mempelajari lebih lanjut mengenai budaya masyarakat setempat. – Utusan Borneo

404