Kerajaan Sabah Pastikan Tiada Daerah Luar Bandar Di Negeri Ini Terpinggir Dari Arus Pembangunan

Gambar Ewon Benedick

PAITAN (Sabah), 25 Jun – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah bertekad memastikan tiada daerah terpencil luar bandar di negeri ini terpinggir dalam arus pembangunan.

Sehubungan itu, Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata program turun padang yang dihadirinya ke kampung-kampung terpencil di kawasan pedalaman dapat memberikan gambaran sebenar keadaan kampung berkenaan dan membantu Ewon dalam menyediakan bajet kementeriannya.

Ewon berucap kita membuat lawatan ke Kampung Tangkarason , Paitan – Gambar Ewon Benedick

“Kita mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk dicapai, sebab itu kehadiran saya (program turun padang) mengingatkan saya betapa besarnya tanggungjawab kita untuk melihat keseluruhan luar bandar Sabah.

“Antara kawasan yang menjadi perhatian kita ialah Daerah Kecil Paitan yang tersenarai antara daerah termiskin di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ewon berkata kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi penduduk kampung termasuk jalan raya, bekalan elektrik dan air.

Menurutnya, tahun ini KPLB Sabah diperuntukkan sebanyak RM4.5 juta untuk Projek Pembangunan Daerah Kecil yang diagih-agihkan kepada 36 daerah penuh dan daerah kecil.

Selain itu, beliau berkata KPLB Sabah juga mempunyai peruntukan RM2.1 juta untuk Pembangunan Usahawan Desa, RM1.17 juta untuk Program Satu Daerah Satu Produk dan RM867,000 untuk Program Kampung Sejahtera) tahun ini.

“Peruntukan untuk Program Kampung Sejahtera juga agak kecil kerana kita mempunyai 55 Kampung Sejahtera seluruh Sabah dan masih banyak cadangan kampung untuk dimasukkan dalam program itu,” katanya.

Ewon berkata dari segi pembasmian kemiskinan, KPLB Sabah mempunyai RM14 juta untuk membangunkan Mini Estate Sejahtera (Mesej).

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *