Dua Kali Rumah Terbakar, Penduduk Batu Sapi Serik Bina Rumah Terlalu Rapat

Keadaam rumah mangsa kebakaran di Kampung Cenderamata Laut, Sandakan yang musnah dalam kebakaran.

SANDAKAN: “Jika dibenarkan bina semula di tapak sama, mungkin kami bina lebih kecil, jarak lebih jauh daripada jiran,” kata Erma Adam, 32.

Erma bersama enam anaknya berusia tujuh bulan hingga 10 tahun antara 85 mangsa daripada 16 keluarga yang hilang tempat tinggal apabila tujuh rumah terbakar di penempatan atas air Kampung Cenderamata, Batu Sapi, Ahad lalu.

Erma berkata, ia kali kedua rumah mereka terbakar dengan kali pertama berlaku ketika umat Islam menyambut hari pertama Syawal pada 2013 dan selepas itu, mereka tinggal lebih sebulan dalam khemah yang dipasang di kawasan padang berhampiran kampung sebelum membina semula rumah di tapak terbabit.

“Dulu pemimpin sudah agihkan lot supaya jarak rumah lebih jauh, tapi penduduk tambah keluasan rumah hingga rumah menjadi terlalu rapat.

“Mujur sekarang cuma tujuh rumah terbakar, berbanding hampir 100 rumah pada 2013,” katanya ketika ditemui di pusat penempatan sementara di dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, di sini, hari ini.

Erma berkata, dia juga tidak mampu untuk menyewa rumah kerana cuma bergantung dengan pendapatan menjual kuih dari rumah ke rumah sebanyak RM40 sehari untuk menyara anaknya selepas terputus hubungan dengan suaminya yang bekerja di Kota Kinabalu sejak lebih setahun lalu.

Sementara itu, Asni Gasang, 36, berkata biarpun kali kedua rumahnya cuma mengalami kerosakan selepas cuba dirobohkan bagi mengelak api terus merebak ke rumah lain, ia masih memberi kesan kepada mereka sekeluarga.

“Biarpun cuma dinding yang rosak, kami masih perlu mengeluarkan wang untuk baik pulih. Kami harap selepas kebakaran baru-baru ini, kami masih dibenarkan tinggal di tapak itu.

“Selepas kebakaran pertama, kami ditawarkan berpindah ke rumah PPR Lintas Sibuga, namun tidak semua mampu berpindah kerana perlu membayar deposit. Tanah tempat kami tinggal sekarang pun adalah milik individu tertentu,” katanya.

Setiausaha Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Ahmad Roslan Mohd Kamel, berkata kebakaran Ahad lalu membabitkan 137 mangsa, namun cuma 85 mangsa yang tinggal di pusat penempatan sementara itu dengan 55 daripadanya bukan warganegara.

Kebakaran di Kampung Cenderamata adalah kes kelima direkodkan di Batu Sapi sejak Mei tahun lalu selepas Kampung Gas, Gelam, Air dan Kampung Karamunting. – Berita Harian

577