Sabah Tidak Pernah Meluluskan Permit Import Benih Guarana

Junz Wong

KOTA KINABALU, 15 Jun – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah setakat ini belum pernah meluluskan permohonan permit mengimport benih guarana ke negeri ini, kata menterinya, Datuk Junz Wong.

Beliau berkata kementeriannya perlu menilai potensi tanaman tersebut selain mengkaji kesan sampingan terhadap tanaman lain seperti getah dari segi penyakit.

Justeru, katanya, sebarang penanaman guarana di Sabah merupakan kemasukan benih secara haram dan kementerian tidak teragak-agak memusnahkan sebarang ladang guarana jika ditemui di negeri itu.

“Buat masa ini, guarana tidak termasuk dalam kategori tanaman dipromosi sebagai penjana ekonomi. Sebarang tanaman baharu diperkenalkan di Sabah perlu melalui proses penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan,” katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kementeriannya sama sekali tidak akan berkompromi berhubung aspek biosekuriti tumbuhan mahupun ternakan sebelum dibawa masuk atau ditanam di negeri ini.

Junz berkata Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 kawasan komponen Semenanjung, Sarawak dan Sabah telah menetapkan prosedur membawa masuk guarana yang tertakluk kepada syarat ditetapkan dan wajib mendapat Import Permit Tumbuhan.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas menerima kunjungan daripada syarikat Ritz Corporate Holding Berhad yang berhasrat  untuk mengembangkan penanaman guarana di Sabah.

Beliau turut meminta semua pihak menghormati undang-undang selain mematuhi segala keperluan serta prosedur operasi standard kuarantin dalam membawa benih guarana ke negeri itu.

Junz turut menasihatkan orang ramai sekiranya mempunyai keraguan mengenai tanaman guarana supaya membuat rujukan terus kepada Jabatan Pertanian Sabah bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Guarana atau ‘paullina cupana’ merupakan sejenis pokok herba yang berasal dari Venezuela dan Utara Brazil, yang berfungsi sebagai perangsang sistem saraf pusat dan mengandungi dua kali kafein daripada kopi.

Tahun lalu, kerajaan mengharamkan import tumbuhan dan benih guarana dari kawasan Tropika Amerika kerana dikhuatiri membawa penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB) yang boleh menjejaskan industri tanaman getah di negara ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *