SESB Dan ST Diminta Tangani Masalah Bekalan Elektrik Di Tiga Kampung Di Batu Sapi

SANDAKAN, 14 Jun – Anggota Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong mahu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) menangani masalah pemotongan bekalan elektrik di tiga kampung di kawasan Parlimen itu yang masih belum disambung semula selepas tunggakan dibayar oleh Pejabat Parlimen berkenaan.

Menurutnya, bekalan elektrik di tiga kampung iaitu Kampung Bakau, Kampung Sundang dan Kampung Sundang Laut dipotong sejak tiga hari lepas, walaupun Pejabat Parlimen berkenaan telah mengutip bayaran dan melunaskan bil elektrik mereka terus kepada SESB.

“Pejabat Parlimen Batu Sapi telah membuat kutipan bayaran daripada penduduk dan membayar kira-kira RM140,000 sejak April lepas.

“Pejabat Parlimen Batu Sapi mempunyai rekod, namun resit pembayaran kepada SESB menunjukkan pembayaran masih dibuat kepada syarikat kontrak SESB yang telah lama ditamatkan kontraknya. Ini mengelirukan dari segi perundangan,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada 71 keluarga mangsa kebakaran di Surau Ar-Rahman, Kampung Karamunting dekat sini hari ini.

Liew, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berharap SESB dan ST mengambil langkah sewajarnya secepat mungkin sebelum beliau mengambil tindakan seterusnya.

Jelasnya, masalah itu telah merugikan rakyat di kampung berkenaan sehinggakan kemeriahan mereka menyambut Aidilfitri dalam bulan Syawal terganggu akibat ketiadaan bekalan elektrik.

— BERNAMA