Beberapa Kampung Dilanda Banjir Di Membakut, PPS Mula Dibuka

Anggota APM semasa memindahkan mangsa banjir ke PPS menggunakan Bot Penyelamat.

BEAUFORT: Keadaan hujan berterusan selama beberapa hari menyebabkan beberapa perkampungan di sini digenangi banjir dan penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Leftenan Mohd Mayroof berkata Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Membakut mula dibuka sejak jam 2 petang tadi.

“Setakat jam 7 malam ini kita APM sudah memindahkan lima keluarga membabitkan 14 mangsa dari Kampung Baitam ke PPS terbabit.

“Jumlah ini dijangka akan bertambah selepas ini berikutan keadaan banjir yang masih belum surut dan berisiko tinggi kepada penduduk kampung,” katanya semasa dihubungi.

SALAH sebuah rumah yang digenangi banjir di Membakut.
Salah sebuah rumah yang digenangi banjir di Membakut.

Sementara itu Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Razali Dena berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort turut ke lokasi bagi melaksanakan kerja pantauan serta memindahkan mangsa terjejas banjir.

“Setakat ini sebuah keluarga dari Kampung Kiyai Membakut sudah dipindahkan ke PPS sementara menggunakan aset dari JBPM termasuk bot penyelamat,” katanya. – Utusan Borneo