(VIDEO) Dua Warga Asing Ditahan, Disyaki Terlibat Memukul Dua Beranak Di Kampung Petagas

Screenshot dari video media sosial menunjukkan kedua anak beranak tersebut terbaring di tepi jalan selepas dipukul. Sumber FB Lindaa Wayne

PENAMPANG: Polis menahan dua orang lelaki warga asing disyaki terlibat memukul dua beranak di hadapan sebuah kedai runcit berhampiran Surau Al-Jannah, Kampung Petagas, Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Harris Ibrahim berkata kedua-dua suspek berumur antara 30 hingga 40 tahun ditahan hari ini.

Namun katanya kes berkenaan masih lagi dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Seksyen 147 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pada Isnin (10 Jun) kira-kira pukul 7.11 malam, pihak polis menerima satu laporan dari seorang pengadu yang mengatakan bahawa ayah dan adik lelakinya telah dipukul oleh sekumpulan lelaki.

Siasatan awal mendapati, pengadu iaitu anak perempuan kepada mangsa menyatakan bahawa ayah dan adik lelakinya telah dipukul di hadapan sebuah kedai runcit berhampiran Surau Al-Jannah, Kampung Petagas Putatan.

Apabila pengadu sampai di tempat kejadian, pengadu telah mendapati ayahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala adiknya terbaring mengerang kesakitan serta mengadu sakit di bahagian tangan dan kaki sebelah kanan.

Pengadu dimaklumkan oleh adiknya bahawa dia dipukul oleh sekumpulan warga asing dipercayai rakan-rakan pemilik kedai tersebut kerana dituduh mencuri.

Anak perempuan mangsa seterusnya membawa ayahnya ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Satu dengan bantuan dari orang ramai.

Manakala, adiknya dibawa ke hospital menggunakan ambulans dan ayah pengadu dimasukkan ke Zon kritikal serta adik pengadu berada dalam keadaan separa sedar. -SabahNewsToday