Masjid, Surau Dan Rumah Ibadat Bukan Islam Di Sandakan Terima Sumbangan RM120,000

PENYAMPAIAN bantuan kewangan kepada wakil-wakil Masjid, Surau dan Gereja di Sandakan.

Badan agama di Sandakan terima sumbangan RM120,000

SANDAKAN, 26 Mei – Sebanyak 30 masjid dan surau serta rumah ibadat bukan Islam dalam kawasan Parlimen Sandakan hari ini menerima sumbangan berjumlah RM120,000 daripada kerajaan pusat bagi membantu kos operasi masing-masing.

Masjid dan surau menerima RM60,000, RM30,000 kepada Sandakan Inter Church, RM26,000 kepada 22 tokong dan dua kuil manakala RM4,000 untuk tiga buah gereja.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Sumbangan ini menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk mempertahankan hak kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada program penyampaian sumbangan tersebut di sini.

Lim turut memberitahu kehadirannya di Sandakan untuk program penyampaian sumbangan itu sebagai menghargai komitmen Vivian Wong untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat selepas  memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei lalu.

“Kami menyedari ada prosedur yang perlu dipatuhi bagi membolehkan Vivian dapat melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat, antaranya peruntukan belum boleh disalurkan melaluinya selagi beliau belum mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen.

“Kami sedar beliau hanya akan mengangkat sumpah pada (sidang Dewan Rakyat) Julai depan. Jadi kehadiran saya membawa cek sumbangan kepada badan-badan agama adalah salah satu cara untuk memastikan rakyat tidak tertunggu-tunggu bantuan yang dijanjikan,” jelasnya.

Lim juga berkata kerajaan negeri dan pusat bertekad untuk menunaikan semua janji kepada rakyat pada PRK Sandakan, termasuk projek pembangunan yang diluluskan dalam Belanjawan Negara 2019.

“Dengan adanya sokongan daripada rakyat dan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan pusat, kita akan dapat melihat wajah baharu untuk Sandakan yang boleh menjadi sebuah bandar dinamik semula,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *