Motosikal langgar kereta masuk simpang mengejut, penunggang maut

LAHAD DATU, 22 Mei – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah kereta yang membelok secara tiba-tiba di persimpangan kedua Kampung Binuang, Jalan Lahad Datu -Tungku, dekat sini, semalam.

Mohd Radzmir Amil Bustan, seorang pekerja swasta berumur 24 tahun, meninggal dunia semasa dalam perjalanan menuju ke hospital, ekoran kecederaan parah dialami akibat kemalangan pada kira-kira pukul 8.00 malam itu.

Keadaan motosikal yang di tunggang mangsa selepas merempuan sebuah kereta di persimpangan kedua Kampung Binuang, Jalan Lahad Datu -Tungku

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata, kemalangan itu berlaku apabila sebuah kereta Proton Saga yang dipandu lelaki berumur 30 tahun yang bergerak dari arah Lahad Datu-Tungku memasuki simpang kanan secara tiba-tiba manakala motosikal Mohd Radzmir dari arah bertentangan tidak sempat mengelak.

Keadaan motosikal yang di tunggang mangsa selepas merempuan sebuah kereta di persimpangan kedua Kampung Binuang, Jalan Lahad Datu -Tungku

“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa melambung dan jatuh ke jalan raya. Pada masa  sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun yang dari arah Lahad Datu-Tungku tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal Mohd Radzmir,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nasri, mangsa dibawa ke hospital oleh pemandu kenderaan pacuan empat roda terlibat.

“Kecuaian dipercayai berpunca daripada pemandu Proton Saga, yang turut didapati tidak memiliki lesen memandu,” katanya dan menambah kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *